Saturday, April 25, 2009

Memahami Konsep Amar Makruf, Nahi Mungkar.

Menjadi kewajipan setiap orang Islam untuk melakukan “al-Amr bil Ma’ruf” iaitu menyeru kepada kebaikan “wa al-Nahyu an al-Mungkar” mencegah kemungkaran. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang sangat banyak menjelaskan perkara ini antaranya surah Ali Imran ayat 104:

َولتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُوْنَ إلَى الخَيْرِ وَيَأمُرُونَ بِالمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ المُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ المُفْلِحُونَ

Maksudnya:

Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.

Juga firman-Nya di dalam surah Ali Imran ayat 110:

كُنْـتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأمُرُونَ بِالمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ المُنْكَرِ
Maksudnya:

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar.

Begitu juga Allah menjelaskan di dalam surah al-Taubah ayat 71:

وَالمُؤْمِنُوْنَ وَالمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ يأمُرُونَ بِالمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ المُنْكَرِ
Maksudnya:
Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain, mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar.

Secara umumnya perkataan ma’ruf bermaksud segala apa yang disukai, diredhai dan diperintahkan untuk melakukannya oleh Allah s.w.t. Mungkar pula bermaksud segala yang dibenci, dimurkai dan diperintahkan untuk menjauhinya oleh Allah s.w.t.

Hukum Amar ma’ruf ini menurut Jumhur para ulama’ merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam. Ini bermaksud hendaklah ada sebahagian dari umat Islam yang melaksanakannya, sekiranya tiada maka kesemua umat Islam akan menanggung dosanya.

Perbuatan mengintai serta (tatabbu’) mencari-cari keaiban orang lain.

Perlu difahami bahawa dalam melaksanakan al-Amru bil Ma’ruf wa al-Nahyu an al-Munkar Islam telah menggariskan beberapa panduan atau syarat-syarat yang mesti dipenuhi untuk menghalang perbuatan itu berlaku.

Syarat pertama: Hendaklah perbuatan yang hendak ditegah itu ialah perbuatan mungkar menurut pengertian syarak.

Syarat kedua: Hendaklah perkara mungkar itu berlaku pada waktu itu.

Syarat ketiga: Hendaklah perbuatan mungkar itu berlaku secara zahir terang-terangan, bukan dengan cara (tajassus) mengintip. Ini kerana Islam hanya membenarkan menghukum sesama manusia secara zahirnya sahaja.

Syarat keempat: Perkara mungkar tersebut diketahui umum tanpa memerlukan seseorang itu berijtihad. (Al-Amr bil ma’ruf wan Nahyu anil Mungkar, Ibn Taimiyyah, muqaddimah muhaqqiq hlm.26)

Maka perbuatan mengintai pasangan berkhalwat di tempat yang tersembunyi seperti hotel atau dirumah tidak menepati syarat yang ketiga iaitu hendaklah perbuatan mungkar itu berlaku secara zahir. Berlaku secara zahir seperti ditempat-tempat awam contohnya di taman rekreasi, di laluan-laluan orang ramai dan sebagainya.

Sebab itu Nabi s.a.w. bersabda:

مَنْ رَآى مِنْكُم مُنكَراً فَلْيُغَيِّرهُ بِيَدِهِ، فإن لَم يَستَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فإن لَم يَستَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أضْعَفُ الإيْمَانِ.

Sesiapa antara kamu yang melihat satu kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka ubahlah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu ubahlah dengan hatinya dan itu selemah-lemah iman. (hadis Muslim)

Jelas dari hadis ini Nabi s.a.w. menyatakan sesiapa yang melihat kemungkaran, Nabi s.a.w. tidak menyatakan sesiapa yang mencari-cari atau mengintai orang yang melakukan kemungkaran. Maka sekiranya kemungkaran berlaku terang-terangan maka wajib ketika itu menghalanginya daripada berlaku. Adapun kemungkaran yang berlaku secara tertutup atau yang dilakukan secara tersembunyi yang tidak dilihat oleh orang maka bukanlah menjadi kewajipan umat Islam untuk pergi mencari dan mengintai untuk mencegahnya.

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Hujurat ayat 12:

يا أيها الذين آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيراً مِنَ الظنِّ إن بَعْضَ الظنِّ إثم ولا تَجَسَّسُوْا

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.

Ibn Jarir al-Thobari ketika menafsirkan ayat ini (La Tajassasu) bermaksud jangan kamu mencari-cari atau mengintip aurat sebahagian yang lain. (Aurat bermaksud keburukan seseorang atau sesuatu yang apabila terlihat akan menyebabkan rasa malu. Mukhtar al-Sihah). Dan jangan kamu mencari-cari apa yang tersembunyi atau yang menjadi rahsianya untuk menzahirkan keaibannya. Tetapi cukuplah bagimu apa yang zahir daripada

Nabi s.a.w. bersabda:

ولا تتبعوا عوراتهم فإنه من تتبع عورة أخيه المسلم تتبع الله عورته، ومن تتبع الله عورته يفضحه ولو في جوف بيته.
Jangan kamu mencari-cari aurat (keaiban) mereka (orang Islam) sesungguhnya sesiapa yang mencari-cari aurat (keaiban) saudara seislamnya Allah akan mencari-cari aurat (keaibannya) dan barangsiapa yang Allah cari keaibannya maka akan terbukalah aibnya sekalipun sesuatu yang tersembunyi di dalam rumahnya. (hadis riwayat al-Tirmizi, beliau berkata Hasan Gharib)

Kita mohon kepada Allah s.w.t. agar menutup keaiban kita.

Imam Ahmad ditanya tentang seorang yang mendengar sesuatu perbuatan mungkar tetapi dia tidak melihat atau tidak tahu di mana tempatnya. Imam Ahmad menjawab apa yang tidak kamu lihat maka jangan kamu pergi mencarinya. (Man allazi yughaiirul munkar wa kaifa, Dr. Mahmud Muhammad ‘Ammarah, hlm. 84)

Imam Ibnul Jauzi berkata: “Sesiapa yang menutup perbuatan maksiatnya di dalam rumahnya, menutup pintunya, tidak boleh mengintai dan mencari-carinya kecuali sekiranya terzahir apa-apa yang kita tahu ianya perbuatan yang haram seperti terdengar suara-suara seruling (alat musik), maka sesiapa yang mendengar perkara tersebut ia boleh masuk dan memecahkannya dan sekiranya terhidu bau arak maka yang jelas boleh menegahnya. (Al-Amr bil ma’ruf wan Nahyu anil Mungkar, Ibn Taimiyyah, muqaddimah muhaqqiq hlm.26)

Persoalannya berapa banyak kemungkaran yang berlaku di depan mata, di tempat-tempat terbuka yang lebih utama untuk dicegah tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan untuk mencegahnya, baik di pihak yang berkuasa mahupun di pihak masyarakat umumnya. Yang menjadi tumpuan hanyalah ditempat-tempat yang tersembunyi dan tersorok yang kita tidak dipertanggungjawabk an pun untuk mencari dan menyelidikinya. Perbuatan mereka yang melakukan maksiat atau kemungkaran secara tersembunyi itu adalah urusan Allah s.w.t. sekiranya Allah ingin Allah akan mengampunkan mereka dan sekiranya Allah ingin Allah akan mengazab mereka.

Perhatian: Tidak bermaksud disini merelakan atau membiarkan sesuatu perkara munkar dan maksiat itu berlaku, bahkan tidak meredhoinya tetapi Allah s.w.t. tidak membebankan hamba-Nya dengan perkara yang tidak mampu dibuat. Insan hanya boleh menghukum secara zahirnya sahaja, adapun yang batin yang tidak dapat dilihat, urusan itu diserahkan kepada Allah s.w.t.

Tidak syak lagi mereka yang melakukan kemungkaran secara tersembunyi lebih baik dari mereka yang melakukannya secara terang-terangan. Namun kedua-duanya tidak akan terlepas dari hukuman, sekiranya terlepas mahkamah di dunia maka sesungguhnya ia akan berhadapan dengan mahkamah Qadi Rabbul Jalil di akhirat kelak.

Allah berfirman di dalam surah al-Nur ayat 19:

إنَّ الذِيْنَ يُحِبُّونَ أن تَشِيْعَ الفَاحِشَةُ فِي الذِيْنَ ءَامَنُوْا لَهُمْ عَذَابٌ ألِيْمٌ فِي الدُّنْياَ وَالآخِرَةِ واللهُ يَعْلَمُ وَأنْتُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَ.

Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar berita perbuatan yang amat keji itu tersiar dikalangan orang-orang yang beriman bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

Abu Hurairah meriwayatkan:

سمعت رسول الله r يقول: كُلُّ أُمَّتِي مُعاَفَى إلاَّ المُجَاهِرِيْنَ، وإنَّ مِنَ المُجَاهَرَةِ أن يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وقَدْ سَتَرَهُ اللهُ عَلَيْهِ فيقول: يا فُلاَنُ عَمِلْتُ البَارِحَةَ كذا وكذا، وقد بَاتَ يَستُرُهُ رَبُّهُ، ويُصْبِحُ يَكْشِفُ سَتْرَ اللهِ عَنْهُ.

Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Setiap umatku selamat dari lidah-lidah manusia kecuali al-Mujahirin (orang yang berbangga memberitahu orang lain tentang kemaksiatan yang dilakukannya) diantara mereka ada yang melakukan sesuatu maksiat pada waktu malamnya, sehingga pagi Allah telah menutup keaibannya (Allah telah menutup perkara maksiat yang dilakukannya pada waktu malam) tetapi pada keesokannya mereka berkata: hai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu (dia menceritakan maksiat yang dilakukan) sedangkan pada malamnya Allah telah menutup aibnya tetapi apabila siang dia sendiri telah membuka apa yang Allah telah tutupkan tentang dirinya.

Daripada hadis ini hendaklah kita insaf akan diri kita, terkadang kita melakukan dosa dan kemaksiatan kepada Allah, tetapi dengan rahmat-Nya keaiban kita ditutup oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya orang yang berbangga memperlihatkan kemungkarannya dihadapan orang lain telah melakukan beberapa kesalahan jenayah

2 comments:

Anonymous said...

Tepat sekali, saya setuju tulisan/ pendapat anda. Semoga allah swt merahmati kita semua, amienn yarobbal alamin

Unknown said...

Sedangkan hadis ni menyatakan bahawa kita tidak boleh mencari cari. Tetapi masyarakat sekarang kebanyakkan orang mencari cari. Adakah mereka kurang didikan agama.